Jom Baca: Duit Syiling Malaysia Baru

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia mengumum akan mengeluarkan duit syiling Malaysia siri ketiga mulai tahun hadapan. Dengan rekaan yang lebih kecil dan ringan, duit syiling baru Malaysia diinspirasikan dari ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara. Rekaan baru syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara.

Ciri-ciri Am

Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan ‘BANK NEGARA MALAYSIA’.

 

 

 

 

 

Spesifikasi Teknikal

Nilai Muka 50 sen 20 sen 10 sen 5 sen
Logam Nikel Loyang Bersalut Kuprum Nikel Loyang Keluli Tahan Karat Keluli Tahan Karat
Garis pusat (mm) 22.65 20.60 18.80 17.78
Berat (gram) 5.66 4.18 2.98 1.72

 

50 sen
Sulur Kacang

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.

Ciri Keselamatan

Image pendam duit syiling 50 sen akan kelihatan apabila duit syiling tersebut disendeng pada sudut yang berlainan.

20 sen
Bunga Melur

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.

10 sen
Motif Orang Asli

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.

5 sen
Destar Siga

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

 

Sumber: Bank Negara Malaysia

About Hamirul Puad